KLUANG: Seorang penganggur mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh isterinya dengan cara mengelar leher dan pergelangan tangan, awal bulan ini.
Tertuduh, Ei Jean Yee, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mujib Saroji.
Mengikut Pertuduhan, tertuduh cuba membunuh Ng Moy Koew, 48, menggunakan sebilah pisau dengan niat menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Hang Tuah 1/3, Taman Muhibbah di dalam daerah ini pada pukul 9.31 malam, 4 Mac lalu.
Berikutan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Penolong Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemeriksaan mental.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai dan kes akan disebut semula pada 10 April depan untuk laporan perubatan serta kimia.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh sebelum ini dilaporkan berkata, tertuduh ditahan polis di kediamannya pada pukul 9.40 malam, 4 Mac lalu selepas pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek cuba membunuh isterinya kerana mengesyaki isterinya sudah tidak mahu menjaganya selain percaya wanita itu hendak melarikan diri.
“Pemeriksaan doktor terhadap mangsa mendapati terdapat tiga kesan kelar di leher, satu di bahu kanan serta dua di lengan tangan kiri mangsa. Suspek juga telah bertindak menelan sekotak paku payung kecil (paku tekan) untuk cuba membunuh diri,” katanya. – UTUSAN










