BEIJING: Puluhan virus dikesan bercampur dalam haiwan di China, sebahagian merupakan virus baharu yang berpotensi menular kepada manusia, kata penyelidik pada Rabu.
Sejak pandemik Covid-19, para saintis telah memberi amaran penternakan mamalia seperti cerpelai untuk bulu mereka boleh memudahkan virus menular dari hidupan liar dan mencetuskan wabak baharu.
Edward Holmes, yang mengetuai kajian mengenai COVID-19, memberitahu AFP,dia merasakan industri penternakan bulu di seluruh dunia adalah salah satu cara yang paling berkemungkinan untuk memulakan pandemik baharu.
Berita berkaitan:
“Secara peribadi, saya berpendapat industri penternakan bulu global seharusnya ditutup,” katanya.
Holmes merupakan salah seorang pengarang kajian yang meneliti potensi bahaya yang dibawa oleh virus di ladang bulu di negara yang menyaksikan kes COVID-19 pertama kali muncul pada akhir tahun 2019.
Pasukan penyelidik yang diketuai oleh China telah menyusun bahan genetik dari sampel paru-paru dan usus daripada 461 haiwan seperti cerpelai, arnab, musang, dan anjing rakun yang mati akibat penyakit di seluruh negara antara tahun 2021 hingga 2024.
Kebanyakan haiwan ini berasal dari ladang bulu, ada juga yang diternak untuk makanan atau perubatan tradisional, manakala sekitar 50 daripadanya adalah haiwan liar.
Pasukan penyelidik tersebut mengesan sebanyak 125 virus, termasuk 36 virus baru, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature manakala 39 daripada virus tersebut dinilai mempunyai “risiko tinggi” untuk melompat merentasi spesies, termasuk kepada manusia.
Dalam kajian tersebut, para penyelidik menyeru agar pengawasan terhadap haiwan di ladang bulu ditingkatkan terutama bagi cerpelai, anjing rakun, dan tikus belanda, yang mencatatkan virus “risiko tinggi” terbanyak.
Denmark telah memusnahkan seluruh populasi cerpelai ternakannya kerana kebimbangan terhadap COVID-19 pada tahun 2020, tetapi telah membenarkan semula amalan tersebut. -AGENSI











