Piala AFF tanpa pemain JDT, Selangor?

Piala AFF tanpa pemain JDT, Selangor?

SKUAD Harimau Malaya di Piala AFF berakhir di separuh akhir pada 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC hampir pasti tidak dapat menyertai skuad kebangsaan yang akan bersaing di Piala AFF 2024 pada Disember ini.

Selain kejohanan itu tiada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kedua-dua pasukan itu juga akan beraksi dalam kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), manakala anak-anak buah Nidzam Jamil pula bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

“Kita (akan) hantar skuad yang terbaik tetapi saya tidak pasti kita akan dapat pemain daripada JDT dan Selangor. Kalau ikutkan Pau Marti Vicente (ketua jurulatih Harimau Malaya), dia mahukan yang maksimum.

“Piala AFF pun bukan dalam kalendar FIFA, jadi kelab ada hak untuk tidak lepaskan pemain mereka ,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Mengikut perancangan asal, Piala AFF 2024 dijadualkan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember ini, namun ketika ini Indonesia yang menjadi wakil tunggal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 akan bermain dua perlawanan sepanjang November.

Selepas mengambil kira permohonan daripada ahli gabungan, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) ambil keputusan untuk meminda tarikh sepak mula kejohanan Piala Asean 2024 yang akan dimulakan pada Disember ini.

Secara tidak langsung, perubahan ini juga memberikan Vicente ‘masa tambahan’ untuk menilai lebih ramai pemain sekaligus dapat menyiapkan skuad lebih kuat sekiranya barisan bintang JDT dan Selangor tidak dapat sertai pasukan.

Sementara itu, Hamidin menegaskan Malaysia akan tetap menghantar skuad senior ke kejohanan berkenaan biarpun ada khabar angin mengatakan Indonesia dan Thailand bakal mempertaruhkan skuad bawah 23 tahun (B-23).

“Kita akan tetap hantar skuad Harimau Malaya dan bukannya skuad B-23,” kata Hamidin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×