Wan Kuzain tersisih gara-gara saingan sengit

Wan Kuzain tersisih gara-gara saingan sengit

Wan Kuzain sebelum ini mencuri perhatian apabila membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dalam saingan Piala ASEAN 2026 Julai lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persaingan sengit di bahagian tengah memaksa Wan Kuzain Wan Kamal diketepikan seketika daripada Harimau Malaya apabila namanya tidak disenaraikan bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta, Indonesia, bulan ini.

Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagaimanapun menegaskan, keputusan itu bukan kerana kemampuan pemain Sporting JAX berkenaan diragui.

Sebaliknya, Cheng Hoe menjelaskan, jumlah pilihan berkualiti di posisi tersebut menyebabkan Wan Kuzain terpaksa menunggu peluang seterusnya meskipun sudah diberi kesempatan membuat penampilan bersama Harimau Malaya sebelum ini.

“Wan Kuzain memang mempunyai keupayaan tersendiri dan saya akui dia adalah pemain yang bagus. Tetapi pada masa ini kita mempunyai ramai pemain di posisi tengah.

“Jadi, saya mahu dia terus memberikan fokus sepenuhnya kepada kelabnya di Amerika Syarikat dan berusaha meningkatkan lagi aspek permainan yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Wan Kuzain, 28, sebelum ini mencuri perhatian apabila membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dalam saingan Piala ASEAN 2026 pada Julai lalu, selain meledak gol antarabangsa pertamanya menerusi sepakan percuma ketika menentang Laos.

Cheng Hoe bagaimanapun tidak menutup pintu buat Wan Kuzain untuk kembali menjadi sebahagian daripada perancangan skuad kebangsaan, sebaliknya mahu pemain itu menggunakan tempoh bersama Sporting JAX untuk terus mengembangkan kemampuan dan meningkatkan prestasinya.

“Dia perlu terus bekerja keras dan meningkatkan lagi permainan. Saya percaya dia boleh menjadi antara pemain terbaik untuk negara selepas ini.

“Jadi, buat masa ini biarlah dia memberikan tumpuan kepada kelab dan terus meningkatkan prestasinya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe berharap semua pemain yang dipanggil berada pada tahap terbaik dari segi kecergasan fizikal dan mental memandangkan tempoh persiapan yang singkat.

“Kita harap para pemain bebas daripada kecederaan dan berada dalam tahap terbaik. Sesi persiapan kali ini masa yang singkat jadi kita memerlukan pemain yang betul-betul cergas dan berada tahap terbaik,” ujarnya.

Harimau Malaya akan berdepan tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh dalam Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, dengan skuad kendalian Cheng Hoe mengintai peluang melangkah ke final kejohanan sulung berstatus FIFA itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×