BEIJING: Kementerian Keselamatan Negara China (MSS) memberi amaran kepada golongan mahasiswa agar tidak terpedaya dengan lelaki tampan atau wanita cantik yang mungkin memujuk mereka untuk menjadi perisik bagi kuasa asing.
Agensi keselamatan itu memaklumkan, terdapat usaha negara luar cuba menarik rakyat negara ini mendedahkan maklumat sulit menerusi perangkap percintaan.
“Ada antara perisik asing menyamar sebagai lelaki tampan atau wanita cantik menerusi iklan pekerjaan atau platform janji temu dalam talian.
“Mereka cuba memikat pelajar, terutamanya mereka yang mempunyai akses kepada data penyelidikan saintifik sensitif untuk menyerahkan maklumat sulit,” ujar amaran MSS seperti laporan Channel News Asia.
MSS bagaimanapun tidak menyebut negara mana yang terlibat.
Agensi itu turut memberi amaran, perisik mungkin menyamar sebagai tenaga pengajar di universiti, penyelidik saintifik atau perunding dalam usaha menarik pelajar yang kekurangan wang untuk menawarkan mereka pekerjaan.
Sebelum ini, badan tersebut turut mengeluarkan amaran meminta rakyatnya berhati-hati sekiranya didekati individu yang menawarkan bantuan kerana dibimbangi tertipu dengan perisik yang menyamar sebagai orang yang baik.
Jun lalu, MSS mendakwa agensi perisikan MI6 Britain merekrut sepasang suami isteri yang bekerja untuk Kerajaan Pusat untuk melakukan pengintipan bagi pihak United Kingdom. – AGENSI











