BANGKOK – Seorang bekas pegawai tentera laut berusia 55 tahun ditahan di Bangkok kerana menjalankan amalan perubatan tanpa lesen sah selama dua dekad.
Thanaboon, yang ditahan di sebuah klinik berhampiran Phetchaburi Soi 31, daerah Ratchathewi pada 6 September lalu, ditangkap hasil aduan seorang penduduk tempatan mengenai sekumpulan doktor palsu yang menawarkan perkhidmatan pengguguran di klinik sepanjang Jalan Phetchaburi.
Menurut Biro Polis Metropolitan, ketika pihak berkuasa tiba di klinik tersebut, Thanaboon didapati sedang bersiap sedia untuk memberikan suntikan kepada seorang pesakit dengan bantuan seorang jururawat dari Myanmar.
Walaupun beliau mendakwa memiliki lesen perubatan, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan kelayakannya dalam pangkalan data dalam talian Majlis Perubatan Thailand.
Akhirnya, Thanaboon mengaku menjalankan amalan perubatan tanpa lesen sejak tahun 2004 serta mendedahkan beliau mengendalikan klinik di Phetchaburi Soi 31 selama lebih sedekad.
Pemeriksaan lanjut di tingkat atas klinik itu menemui bilik pesakit yang berada dalam keadaan daif, selain pelbagai imej hasil ultrasound pelvis dan kelahiran di klinik tersebut turut ditemukan dalam telefon bimbitnya.
Thanaboon berkata, beliau menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan Bidan pada 1989.
Selepas itu, katanya, dia berkhidmat sebagai pegawai dalam kor perubatan tentera laut di sebuah hospital di daerah Sattahip, Chon Buri.
Namun, dalam usaha menambah pendapatan, beliau mula bekerja sebagai doktor tanpa lesen di klinik perubatan sejak tahun 2004.
Beliau pernah ditangkap pada 2009 kerana perkhidmatan pengguguran haram, tetapi dibebaskan dengan jaminan dan berjaya mengelak daripada tindakan undang-undang lanjut sehingga kes tersebut tamat, menurut laporan Bangkok Post.
“Saya ingin menambah pendapatan, jadi saya mula mengambil kerja sampingan sebagai doktor tanpa lesen,” katanya.
Selepas meninggalkan tentera laut, Thanaboon mengakui selama 20 tahun yang lalu, beliau menyediakan perkhidmatan perubatan tanpa kebenaran di pelbagai klinik, menggunakan pengetahuan yang diperolehinya semasa mempelajari kejururawatan sebagai pegawai tentera laut. -AGENSI











