AS sah kes selesema burung pertama tanpa sentuhan haiwan

AS sah kes selesema burung pertama tanpa sentuhan haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang penduduk dari Missouri disahkan menjadi orang pertama positif dijangkiti selesema burung tanpa diketahui terdedah kepada haiwan yang dijangkiti. 

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) serta Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kanan Missouri melaporkan, pesakit dewasa itu dimasukkan ke hospital sejak 22 Ogos lalu dan menerima ubat antivirus terhadap influenza sebelum dibenarkan keluar selepas pulih.

“Pesakit itu adalah individu yang ke-14 diuji positif selesema burung di AS tahun ini. Dia juga adalah individu pertama tanpa diketahui punca kerana tiada hubungan langsung dengan haiwan.

“Malah, tiada jangkitan H5 dalam lembu tenusu dilaporkan di Missouri.

“Disebabkan jenis selesema pesakit kelihatan mencurigakan pada ujian awal, mangsa menjalani ujian tambahan di makmal negeri dan persekutuan sebelum disahkan ia adalah H5 atau dikenali sebagai selesema burung,” kata  Jabatan Kesihatan Missouri.

Beberapa kes H5 membabitkan ternakan komersial atau haiwan ternakan belakang rumah dan burung liar dilaporkan setakat ini. 

Sebelum ini, semua kes selesema burung di AS hanya membabitkan mereka yang bekerja sebagai pekerja ladang, termasuk jangkitan pertama, pada tahun 2022.

“Selesema burung paling kerap ditemukan pada burung liar dan ayam, tetapi, baru-baru ini, ia dikesan dalam mamalia dengan wabak lembu dilihat di seluruh negara tahun ini,” katanya. 

CDC memaklumkan risiko terhadap orang awam adalah rendah, namun keadaan mungkin berubah dengan cepat apabila lebih banyak maklumat diperoleh. -REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN