DHAKA: Sekitar 8,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat keganasan yang semakin memuncak di negeri Rakhine, barat Myanmar, menurut pegawai Bangladesh.
Keganasan tersebut semakin meningkat apabila pertempuran antara junta Myanmar dan Tentera Arakan, sebuah militia etnik semakin bertambah buruk.
“Kami mempunyai maklumat sekitar 8,000 Rohingya telah menyeberang ke Bangladesh baru-baru ini, kebanyakannya dalam tempoh dua bulan yang lalu.
“Bangladesh sudah terbeban dan tidak mampu untuk menampung lebih ramai Rohingya,” kata Mohammad Shamsud Douza, seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap pelarian untuk kerajaan Bangladesh.
Kerajaan Bangladesh sebelum ini tidak memberikan sebarang anggaran mengenai berapa ramai warga Rohingya yang menyeberang ke sempadan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kerajaan akan mengadakan perbincangan serius di peringkat kabinet dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang untuk menangani krisis ini, kata menteri luar negei Bangladesh, Mohammad Touhid Hossain, kepada pemberita lewat Selasa.
Walaupun menyatakan simpati terhadap Rohingya, Hossain menegaskan negara tersebut tidak lagi mempunyai kapasiti untuk menyediakan perlindungan kemanusiaan kepada pelarian tambahan.
“Adalah mustahil untuk menutup sepenuhnya sempadan,” tambahnya, sambil menyatakan usaha akan dilakukan untuk mencegah penembusan lebih lanjut.
Lebih satu juta Rohingya kini tinggal di kem-kem yang sesak di selatan Bangladesh, dengan harapan yang sedikit untuk kembali ke Myanmar, dengan kebanyakannya dinafikan kewarganegaraan dan hak-hak asasi lain.
Bulan lalu, Hossain memberitahu Reuters Bangladesh tidak dapat menerima lebih ramai pelarian Rohingya dan menyeru India serta negara-negara lain untuk mengambil tindakan yang lebih besar. -AGENSI











