KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyerahkan kepada pihak pengurusan sama ada mahu mengekalkannya untuk terus membimbing pasukan itu atau sebaliknya.
Bagaikan menyedari desakan segelintir peminat TFC, Steinbruckner mengakui dia harus bersikap profesional jika khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk mengharungi baki musim ini.
Namun, Steinbruckner juga masih optimis dia individu yang tepat untuk melatih TFC yang kurang bernasib baik selepas beraksi tanpa penyerang utamanya, Ivan Mamut, dalam 14 perlawanan setakat ini.
Justeru itu kehadiran penggempur baharu, Nelson Bonnila di jentera serangan katanya diharap dapat mengubah nasib TFC dalam saingan domestik dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC).
“Kehilangan Mamut yang menjaringkan 22 gol tahun lalu sangat dirasai sepanjang musim ini dan nasib tidak menyebelahi TFC apabila dia (Mamut) mengalami kecederaan lebih teruk dari jangkaan.
“Sebagai jurulatih, saya sentiasa beri yang terbaik kepada pasukan namun saya terbuka sekiranya pengurusan tertinggi kelab mahu berbincang mengenai masa depan bersama TFC.
“Seperti jurulatih lain di seluruh dunia, saya perlu bersedia untuk meninggalkan kelab ini jika itu yang dimahukan,” katanya selepas kekalahan 2-3 kepada Svay Rieng FC pada aksi pembukaan ACC, di sini, semalam.
Kekalahan itu yang ketiga dialami dalam enam perlawanan terakhir di semua pertandingan malah benteng TFC juga kian rapuh apabila dibolosi 14 gol dalam tempoh sama.
Mengulas lanjut perlawanan itu, Steinbruckner mengakui TFC beraksi di bawah kemampuan sebenar apabila membenarkan juara bertahan Liga Kemboja itu menguasai permainan.
Katanya, mereka tewas kepada pasukan lawan yang lebih baik sambil menyifatian Svay Rieng FC berada dalam kelas tersendiri berbanding TFC yang serba tidak menjadi dalam perlawanan itu.
“Kami tewas sejak babak pertama lagi sebaik bolos dua gol mudah ketika aksi baru masuk minit ke-15 yang berpunca kesilapan sendiri sehingga pemain-pemain saya hilang keyakinan.
“Apabila tewas dengan tiga gol dan pihak lawan ada enam atau tujuh lagi peluang keemasaan, itu menunjukkan TFC beraksi dengan teruk walaupun kami cuba bangkit,” tambah Steinbruckner. – UTUSAN










