BAGAN SERAI: Pulau Orang Utan di tengah-tengah Tasik Bukit Merah di sini yang terjejas akibat air tasik surut disebabkan cuaca panas sebelum ini, kini dibuka semula untuk pelancong.
Ia berikutan air tasik tersebut kembali menghampiri paras normal yang membolehkan pelancong dibawa menaiki bot ke pulau tersebut yang menempatkan 14 Orang Utan berusia dua hingga hingga 39 tahun.
Pegawai Perhubungan Awam Yayasan Pulau Orang Utan, Norhaslina Abdul Hamid berkata, sejak dibuka semula empat hari lalu, sebanyak 400 pelancong mengunjungi pulau tersebut.
Menurutnya, pulau itu kembali menerima pelancong selepas lebih dua bulan ditutup selepas paras bacaan air di jeti Pulau Orang Utan melebihi empat kaki.
“Sambutan pelancong ke pulau ini sangat menggalakkan. Sejak dibuka empat hari lalu, lebih 400 orang mengunjungi pulau ini. Pada hari pertama kita beroperasi semula, lebih 200 pelancong termasuk dari luar negara datang ke sini.
“Paras air di tasik ini kembali menghampiri paras normal berikutan hujan sejak kebelakangan ini. Saya percaya dengan paras air yang semakin meningkat membolehkan pelancong terus mengunjungi pulau ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, kakitangan yayasan tersebut, Muhammad Firdaus Anuar, 27, berkata, dia bersama lima rakannya menarik nafas lega dengan peningkatan air di tasik itu.
Menurutnya, ini kerana sejak lebih dua bulan, mereka terpaksa berdayung menggunakan kayak untuk menghantar makanan, air minuman dan ubat-ubatan untuk keperluan haiwan di pulau tersebut.
Katanya, biasanya bekalan tersebut dihantar menggunakan bot tetapi sejak air tasik surut, bekalan dibawa menggunakan kayak.
Dalam pada itu, pelancong yang ditemui gembira apabila pulau tersebut dibuka semula selepas ditutup.
Abdul Fattah Ahmad Syukri, 28, berkata, dia bersama anak dan isterinya pertama kali berkunjung ke pulau Orang Utan.
“Memang rasa amat teruja apabila dapat menaiki bot dari jeti resort ke pulau ini dan lebih menarik apabila dapat melihat secara dekat Orang Utan di pulau ini,” katanya. – UTUSAN










