ASEAN gesa kebebasan pelayaran di selat antarabangsa

ASEAN gesa kebebasan pelayaran di selat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Menteri luar ASEAN akan menyeru supaya kebebasan pelayaran di selat antarabangsa dipelihara apabila mereka menutup siri mesyuarat selama seminggu yang banyak dibayangi konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Menurut draf kenyataan yang dijangka diumumkan pada perhimpunan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Manila itu turut mengulangi gesaan supaya semua pihak mengamalkan sikap menahan diri dalam konflik di Asia Barat yang memberi kesan ekonomi berantai ke seluruh rantau berkenaan.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang mengadakan lawatan ke rantau itu minggu ini, memberi amaran kepada wakil ASEAN penguasaan Iran terhadap Selat Hormuz akan mewujudkan preseden berbahaya.

“Terdapat prinsip asas mengenai kebebasan pelayaran yang kini terancam,” katanya.

Draf kenyataan bersama itu memasukkan istilah yang sebelum ini tidak pernah digunakan, iaitu menyeru kebebasan pelayaran di dalam dan penerbangan melintasi selat antarabangsa, selain menggesa laluan tanpa halangan melalui Selat Hormuz.

Penutupan selat itu susulan serangan bersama AS-Israel terhadap Iran menyebabkan banyak negara di rantau ini berdepan kekurangan tenaga serta kenaikan harga bahan api, dengan Filipina yang bergantung kepada import mengisytiharkan darurat kebangsaan.

Namun, walaupun kenyataan itu menyentuh mengenai kerjasama tenaga antara negara ASEAN, tiada perkembangan baharu diumumkan berhubung inisiatif yang pernah dicadangkan sebelum ini seperti grid tenaga serantau atau skim perkongsian bahan api.

Asia Tenggara sendiri menjadi lokasi kepada dua laluan perkapalan paling sibuk di dunia, iaitu Selat Melaka dan Selat Singapura.

Mesyuarat di Manila bermula dalam suasana tegang pada Selasa selepas berlaku satu lagi siri pertembungan antara China dan negara tuan rumah, Filipina, di kawasan pertikaian Laut China Selatan.

Bagaimanapun, selepas dipanggil menghadap oleh Presiden Ferdinand Marcos, Duta Besar China ke Manila, Jing Quan, memberitahu wartawan insiden berkenaan tidak akan menjejaskan usaha yang telah lama berjalan untuk merangka Kod Tatakelakuan bagi laluan perairan penting itu.

“Tidak kira apa yang berlaku secara dua hala, saya fikir kesediaan kami untuk menyiapkan rundingan kod berkenaan menjelang akhir tahun ini tidak berubah,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan, memberitahu media tempatan beliau percaya perjanjian itu akan dimuktamadkan sebelum mesyuarat pemimpin ASEAN di Manila pada November.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan tidak akan menangani isu dua hala seperti pertikaian wilayah antara China dan Filipina, kata Jing, sambil menjelaskan ia sebaliknya akan memberi tumpuan kepada ‘peraturan penglibatan’ bagi laluan perairan tersebut.

Penganalisis sejak sekian lama memberi amaran sebarang dokumen yang boleh diterima Beijing dan negara anggota ASEAN berkemungkinan tidak mempunyai kuasa yang kukuh untuk dikuatkuasakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN