Scheffler raih emas, Gavin tunjuk peningkatan

Scheffler raih emas, Gavin tunjuk peningkatan

GAVIN Green ketika melakukan tees pada pusingan kedua acara individu golf lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 di Le Golf National, Jumaat lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler dari Amerika Syarikat (AS) meraih pingat emas dengan 19 bawah par 265 pada acara individu lelaki Olimpik Paris 2024, awal pagi tadi.

Ianya memberi AS kemenangan dua edisi berturut-turut dalam sukan terbabit selepas Xander Schauffele merangkul emas di Tokyo 2020.

Pingat perak berjaya disambar oleh Tommy Fleetwood dari Great Britain dengan 18 di bawah par 266 diikuti gangsa dimenangi atlet Jepun, Hideki Matsuyama, yang mencatatkan 17 di bawah par 267.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pemain negara apabila Gavin Green, sekadar menduduki tempat ke-33 daripada 58 pemain dalam acara individu lelaki berkenaan.

Namun, pemain berusia 30 tahun itu memperbaiki kedudukannya di Paris 2024 selepas menduduki tempat ke-47 dan ke-57 pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Gavin terpaksa berkongsi kedudukan dengan pemain Paraguay, Fabrizio Zanotti, apabila kedua-duanya mencatat tiga bawah par 281, dengan Gavin melengkapkan dua bawah par 69 pada pusingan keempat hari ini.

Pada pusingan tersebut, Gavin mencatat bogey di lubang kedua, keempat, dan ke-17, sambil menjaringkan birdie di lubang ketiga, ketujuh, kesembilan, ke-10, dan ke-11.

“Ia adalah hari yang naik turun, tetapi ia kukuh secara keseluruhan. Permulaan yang perlahan, tetapi pemulihan yang baik dan menamatkan di bawah par di padang golf ini, saya menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Ada beberapa perkara yang saya tidak puas hati, seperti pemanduan saya, jadi ada beberapa perkara yang perlu diuruskan, tetapi ia adalah pencapaian yang baik di Olimpik,” katanya kepada pemberita di Le Golf National.

Prestasi Gavin ketika ini menunjukkan kemajuan dalam kariernya di pentas antarabangsa di samping peningkatan ketara berbanding penyertaan sebelumnya, beliau terus memberi inspirasi kepada peminat golf di negara ini.

Sukan Olimpik Paris 2024 terus menjadi medan persaingan sengit bagi atlet-atlet terbaik dunia, dan pencapaian Gavin Green menjadi salah satu pencapaian yang membanggakan dalam sejarah golf Malaysia di Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN