PETALING JAYA: Pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin muncul wira pasukan apabila meledak hatrik untuk menewaskan Terengganu FC 4-1 dalam aksi kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kejayaan itu melayakkan Selangor FC ke final kejohanan selepas mencatat kemenangan agregat 6-4 dan bakal menentang sama ada Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam satu lagi separuh akhir esok.
Perlawanan separuh akhir kedua itu turut disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam aksi tersebut, pasukan tuan rumah memperoleh dua gol pantas daripada tandukan kapten, Safuwan hasil sepakan penjuru Yohandry Orozco masing-masing pada minit ketiga dan keenam.
Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu FC mengatur strategi dan usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi percubaan Ismaheel Akinade pada minit ke-22.
Selangor FC mengukuhkan kedudukan apabila Safuwan menembusi gawang lawan buat kali ketiga pada minit ke-54 hasil sepakan kaki kirinya menewaskan penjaga gol pelawat, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan 3-1, pemain gantian Selangor FC, Reziq Bani Hani meledak gol keempat pasukan pada masa tambahan babak kedua.
Kemenangan itu membolehkan Selangor FC mara ke final Piala FA buat kali kesembilan selepas kali terakhir melakukannya pada 2018 namun tewas 0-2 kepada Pahang.
Pada aksi tersebut turut menyaksikan Faisal Halim disenaraikan sebagai pemain simpanan selepas hampir tiga bulan berehat akibat kecederaan lecur tahap empat gara-gara disimbah asid pada Mei lalu.
Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil turut dijulang oleh anak-anak buahnya sebaik sahaja wisel tamat permainan ditiupkan. – UTUSAN










