KURSK : Russia bergelut menangkis serangan merentasi sempadan oleh Ukraine yang masuk hari kedua semalam, dalam konflik berpanjangan antara kedua-dua negara yang memaksa ribuan penduduk berhampiran berpindah.
Agensi berita AFP dan Reuters melaporkan, Gabenor Kursk, Alexei Smirnov, melaksanakan perintah berkurung di wilayah itu malam tadi, langkah yang memberikan kuasa tambahan kepada pihak berkuasa untuk mengawal situasi.
Menurut laporan itu, Russia melancarkan tembakan udara dan artileri untuk menangkis serangan Ukraine, selain mengerahkan pasukan bantuan untuk menyekat kemaraan tentera Kyiv.
Pegawai Russia memaklumkan, sekurang-kurangnya lima orang awam terbunuh sementara 31 yang lain cedera termasuk enam kanak-kanak sejak serangan berlaku semalam.
Bagaimanapun, bilangan anggota tentera yang cedera atau terkorban tidak dinyatakan.
Pegawai kanan Ukraine juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubungan serangan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata Washington berusaha menghubungi sekutunya dari Ukraine untuk mendapatkan penjelasan.
Beliau menambah, dasar AS masih kekal dengan menyatakan Ukraine hanya boleh menggunakan senjata yang dibekalkan oleh Washington untuk menangani ancaman segera di sempadan dengan Russia. – AGENSI











