NOVO-OGARYOVO : Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan, tindakan Ukraine yang menyerang orang awam memperlihatkan keengganan Kyiv menyelesaikan konflik peperangan dua negara dengan cara perdamaian.
Bercakap pada satu mesyuarat berkenaan ketegangan yang berlaku di sempadan Russia, beliau menegaskan, rundingan dengan kerajaan yang menyerang orang awam tidak akan membuahkan hasil.
“Kini Moscow faham mengapa Kyiv menolak cadangan kami untuk menyelesaikan perkara ini secara aman.
“Rundingan jenis apakah yang boleh kami lakukan dengan Ukraine? Apa yang kami boleh bincangkan dengan pihak yang menyerang penduduk dan kemudahan awam,” ujarnya.
Putin turut menyelar tindakan negara-negara Barat yang menyokong Ukraine dengan menyifatkan mereka melancarkan perang terhadap Moscow menggunakan Kyiv.
Penasihat Ketua Kakitangan Pejabat Presiden Ukraine, Mikhail Podolyak berpendapat, pihaknya
boleh mempengaruhi rundingan menerusi kedudukan tenteranya yang kini menyusup sejauh kira-kira 50 kilometer ke wilayah Russia.
Agensi berita Politico melaporkan, serangan di wilayah Kursk, Russia dilancarkan dengan sokongan Barat.
Ukraine memulakan serangan besar-besaran di Kursk pada Selasa lalu, memaksa hampir 100,000 penduduk Russia berpindah. – AGENSI











