DHAKA: Hampir 100 orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera dalam gelombang baharu siri protes antikerajaan di Bangladesh, semalam.
Demonstrasi terbaharu itu menyaksikan penunjuk perasaan kembali ke jalanan bagi mendesak Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.
Terdahulu, Hasina menuduh penunjuk perasaan melakukan sabotaj dan sekali lagi bertindak menyekat perkhidmatan internet mudah alih dalam usaha untuk meredakan kekacauan.
Menurut akhbar tempatan, Prothom Alo, sekurang-kurangnya 95 orang termasuk 14 pegawai polis maut dalam keganasan itu.
Sementara, saluran berita Channel 24 melaporkan sekurang-kurangnya 85 kematian.
Tentera mengumumkan perintah berkurung baharu berkuat kuasa petang semalam untuk tempoh yang tidak ditentukan, termasuk di Dhaka dan daerah lain.
Sebelum ini, kerajaan mengenakan perintah berkurung dengan beberapa pengecualian di Dhaka dan kawasan lain.
Demonstrasi kali ini adalah rentetan daripada protes pelajar bulan lepas, yang mengheret Bangladesh ke dalam situasi darurat dengan sekatan komunikasi selama seminggu, perintah berkurung dan menyebabkan lebih 200 orang maut.
Kementerian Dalam Negeri Bangladesh mengumumkan pelaksaan perintah berkurung di seluruh negara bermula 6 petang semalam, selepas melihat skala penunjuk perasaan kembali besar di jalanan.
Pelajar Menentang Diskriminasi, kumpulan utama di sebalik protes awal, menyeru pelajar dari seluruh negara untuk pergi ke Dhaka, hari ini.
Protes itu menjadi cabaran besar bagi Hasina, yang kembali berkuasa untuk penggal keempat berturut-turut pada Januari, dalam pilihan raya yang diboikot oleh lawan utamanya, termasuk Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).-AGENSI










