Program mencari emas pertama Olimpik wajar diteruskan

Program mencari emas pertama Olimpik wajar diteruskan

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika bertemu dengan atlet basikal trek negara di perkampungan atlet Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program khas mencari emas pertama Olimpik wajar diteruskan oleh biarpun Malaysia terus kempunan untuk merealisasikan impian tersebut dalam sejarah penganjuran temasya terbesar dunia itu.

Biarpun program terbaharu iaitu Road To Gold (RTG) dipersoalkan keberkesanannya, mahu atau tidak semua pihak perlu sedar bahawa program berkenaan sebenarnya membawa kesan positif kepada pencapaian atlet.

Tidak menafikan objektif utama RTG untuk membawa pulang emas pertama negara di Olimpik gagal, namun bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan usaha itu perlu diteruskan sehingga membuahkan hasil.

Shapawi memulakan khidmatnya dengan MSN pada 1988 sebelum bergelar Ketua Pengarah pada 2014 berkata, Program RTG adalah penambahbaikkan daripada program sedia ada untuk membawa pulang pingat emas pertama negara.

“Kita mula sasarkan pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2012 selepas kita lihat Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat perak pada Olimpik Beijing 2008 dan kita namakan program tersebut Road To London 2012.

“Olimpik 2016 juga kita ada program yang sama iaitu Road To Rio 2016. Usaha untuk membawa pulang pingat emas ini sudah lama diadakan jadi untuk kali ini kita kena terima bahawa kita sekali lagi telah gagal melakukannya.

“Saya pernah terlibat secara langsung untuk membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik dan saya juga ingin memohon maaf kerana tidak dapat merealisasikannya.

“Siapa yang tidak mahukan pingat emas. Kita perlu menerima hakikat daripada kegagalan ini dan menambah baik daripada program yang sedia ada untuk diteruskan pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya lagi, setiap kali menyertai temasya besar Malaysia akan tampil dengan program khas untuk mencapai sasaran yang ditetapkan sebagai contoh ketika negara menganjurkan Sukan SEA 2001 program Gemilang 2001 dan Kita Juara pada 2017.

Semalam, temasya Olimpik Paris 2024 telah melabuhkan tirainya menyaksikan kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa menerusi kem badminton iaitu pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Shapawi bersara wajib pada September 2023 selepas 35 tahun bersama MSN berkata, Program RTG tidak wajar dianggap gagal sepenuhnya apabila beberapa atlet menunjukkan peningkatan positif selepas bernaung di bawahnya.

Shapawi yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan dari 17 Jun 2013 hingga 18 Disember 2014 menegaskan program seperti RTG perlu diadakan bagi menghimpunkan atlet terbaik sebelum menyertai temasya besar seperti Sukan Olimpik.

“Program seperti ini akan diberi peruntukkan khas daripada kerajaan kerana jika tiada kita tidak mampu untuk menghantar atlet negara berlatih, bertanding atau pun mendapatkan kepakaran dari luar negara,” katanya lagi.-UTUSAN

Berikut merupakan statistik

Kutipan pingat Sukan Olimpik kontinjen negara bagi empat edisi terakhir

LONDON 2012
1 perak (Badminton)
Datuk Lee Chong Wei
1 gangsa (Terjun)
Datuk Pandelela Rinong

RIO 2016
4 perak (Terjun, Badminton)
Cheong Jun Hoong-Datuk Pandelela Rinong
Datuk Lee Chong Wei
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying
Goh V Shem-Tan Wee Kiong
1 gangsa (Berbasikal Trek)
Datuk Azizulhasni Awang

TOKYO 2020
1 perak (Berbasikal Trek
Datuk Azizulhasni Awang
1 gangsa (Badminton)
Aaron Chia-Soh Wooi Yik

PARIS 2024
2 gangsa (Badminton)
Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Lee Zii Jia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN