Nafuzi mahu Kedah bangkit raih tiga mata

Nafuzi mahu Kedah bangkit raih tiga mata

PEMAIN KDA FC, Sony Norde melakukan asakan kepada pemain JDT Heberty pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman pada bulan lalu.,/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mahu anak-anak buahnya turun dengan sikap dan minda positif ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.

Nafuzi berkata, meskipun mereka tewas dua kali berturut-turut kepada Harimau Selatan dalam saingan Piala FA baru-baru ini, ia bukan bermakna skuad Sang Kenari akan menyerah lebih mudah.

Menurut Nafuzi, beliau percaya anak-anak buahnya tidak berdepan masalah untuk menampilkan sikap yang betul memandangkan KDA FC amat memerlukan tiga mata bagi memastikan mereka kekal berada dalam kelompok teratas liga.

Selain itu katanya, saingan Piala FA dan Liga Super merupakan pentas yang berbeza dengan anak-anak buahnya juga diyakini sudah melupakan kekalahan kepada JDT minggu lalu.

“Piala FA sudah berakhir buat kita dan sekarang fokus hanya pada Liga Super. Jadi saya mahu para pemain beri tumpuan kepada aksi dalam liga yang masih panjang.

“Lagi pun dalam dua perlawanan terakhir liga sebelum ini, kita gagal mencapai kemenangan. Justeru, ini masanya kita bangkit untuk mendapatkan tiga mata.

“Ini bukan kerja senang tetapi kita kena tampil positif untuk memperolehi keputusan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, antara perkara positif yang ditampilkan dalam perlawanan menentang JDT sebelum ini adalah, para pemainnya tetap mencuba hingga ke wisel penamat bagi memberi saingan.

“Dalam perlawanan itu kita berjaya mengimbangi perlawanan pada separuh masa pertama. Namun kami dibolosi terlalu awal pada separuh masa kedua, sekali gus melemahkan semangat pemain,” katanya.

Dalam pada itu Nafuzi berkata, setakat ini masih belum ada perbincangan dengan pihak pengurusan berkenaan kemasukan pemain baharu pada jendela perpindahan kedua.

“Setakat ini kami fokus dulu kepada perlawanan dalam liga. Apabila tiba masanya nanti, kita akan putuskan sama ada membawa pemain baharu atau tidak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN