Mickey teruja kembali beraksi

Mickey teruja kembali beraksi

Faisal
PEMAIN Selangor, Faisal Halim turun bermain buat pertama kali selepas tragedi disimbah asid yang menimpa dirinya pada perlawanan Liga Super 2024 Selangor menentang Kelantan United, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim meminta peminat bola sepak tempatan mendoakan beliau dapat kembali ke prestasi sebenar.

Biarpun hanya dimasukkan di hujung permainan ketika Selangor menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC kelmarin, Faisal akui perasaannya agak bercampur baur.

“Perasaan saya ada suka, ada sedih tetapi ini saat yang saya tunggu. Ini janji saya buat pasukan untuk kembali beraksi dan saya nak lebih lagi.

“InsyaAllah, doakan saya,” katanya ketika ditanya tentang kemahuannya untuk tampil lebih baik pada masa akan datang.

Sorakan penyokong bergema di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap Selangor itu membuat kemunculan sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir perlawanan.

Faisal masuk pada minit ke-85 menggantikan penyerang muda Jordan, Reziq Bani Hani dan ini kali pertama beliau beraksi sejak mangsa serangan asid pada Mei lalu.

Dalam aksi tersebut,, Red Giants meraih kemenangan 2-0 menerusi dua jaringan Ronnie Fernandez.

Dalam masa sama, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengakui agak terhutang budi dengan sokongan yang diberikan oleh semua pihak.

“Alhamdulillah walaupun 10 minit tetapi ia bermakna untuk saya dan pasukan. Terima kasih kepada pihak pengurusan, rakyat Selangor dan semua rakan saya, tanpa anda mungkin saya tidak bersemangat seperti ini.

“Saya kena dapatkan kecergasan tetapi data ujian yang saya lalui sebelum ini sudah buktikan saya bersedia,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN