PUTRAJAYA: Malaysia Airlines Berhad (MAB) diarah mengemukakan laporan bulanan berhubung status pelaksanaan pelan mitigasi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan isu dan masalah teknikal pesawat yang dihadapi oleh syarikat penerbangan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, CAAM telah menjalankan siasatan mengejut ke atas MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat MAB pada 24 hingga 28 Jun lalu.
“Berdasarkan dapatan siasatan tersebut, antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawat MAB adalah kemungkinan disebabkan masalah komponen mekanikal.
“Selain itu, kekurangan tenaga pekerja mahir yang berhijrah ke tempat lain turut menjadi faktor berlaku kekurangan tenaga untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan meningkatkan tahap keberkesanan sistem pengurusan kualiti dan sistem pengurusan perihal selamat (Safety Management System – SMS) oleh syarikat penerbangan MAB dan MABES,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan CAAM sedang melaksanakan audit khas terhadap insiden demi insiden membabitkan pesawat MAS baru-baru ini.
Anthony berkata, laporan audit khas itu akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, seramai 63 daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan didapati berhenti dan berhijrah ke tempat lain dipercayai kerana menerima tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain.
Jelasnya, susulan hasil siasatan mengejut yang dijalankan oleh CAAM, MAB telah menyediakan pelan mitigasi bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan (reliability) pesawat.
Selain itu, katanya, MAB juga akan melaksanakan program-program merekrut tenaga kerja mahir secara agresif.
“Pelan mitigasi itu termasuk mengecilkan skop perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada pihak ketiga dan memberi fokus kepada kerja-kerja MRO pesawat-pesawat MAB dan mendapatkan bekalan alat gantian enjin pesawat yang mencukupi daripada Original Engine Manufacturer (OEM),” ujarnya.
Kata beliau lagi, berdasarkan audit terkini CAAM ke atas MAB, tempoh pembaharuan bagi Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan dari tiga tahun kepada satu tahun iaitu bermula 1 September hingga 31 Ogos 2025.
“Untuk makluman, mana-mana syarikat penerbangan harus melalui audit sebelum AOC diperbaharui. Tempoh AOC yang lebih pendek akan mewajibkan audit yang lebih kerap.
“Hal ini bagi memastikan MAB mengambil tindakan-tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagai mana pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh CAAM,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony turut menegaskan tentang keperluan semua pemain industri penerbangan awam untuk mematuhi aspek-aspek keselamatan dan perihal selamat yang telah ditetapkan.
“Kita hendak beri satu keyakinan bahawa kita telah mengarahkan MAB untuk memastikan keselamatan pesawat itu berada dalam keadaan paling baik. Dan memang arahan kita kepada pihak MAB ialah tidak boleh ambil sebarang risiko dari segi isu keselamatan.
“Apa yang perlu dilaksanakan, mestilah dilaksanakan demi keselamatan penumpang kerana keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Kita tidak boleh ambil kira dari segi kos dan ‘lost of revenue’, itu diketepikan (kerana) keselamatan pesawat, penumpang serta krew penerbangan sangat penting,” katanya.- UTUSAN










