PARIS: Perenang Hungary, Hubert Kos merangkul pingat emas menerusi acara 200 meter (m) kuak lentang lelaki dengann catatan 1:54.26 saat (s) sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama kepada negaranya di Olimpik Paris.
Atlet dari Greece, Apostolos Christou mendahului perlumbaan sehingga pusingan akhir, hanya mampu meraih perak selepas ketinggalan 0.56s di belakang Kos manakala Roman Mityukov dari Switzerland membawa pulang gangsa.
Kos hadir sebagai pilihan utama kejohanan terpaksa bekerja keras pada pusingan akhir selepas Christou tampil mempamerkan persembahan terbaik.
Juara dunia 2023 yang mana dilatih oleh bekas jurulatih Michael Phelps, Bob Bowman melakukan 25m terakhir dengan cemerlang untuk meninggalkan Christou di belakang.
Ini merupakan pencapaian terbaik bagi perenang di bawah Bowman dengan pilihan utama Perancis, Leon Marchand meraih tiga pingat emas.
Untuk rekod, Kos menamatkan kemarau 44 tahun acara berkenaan sejak Sandor Wladar meraih emas pada edisi Moscow 1980. – AGENSI










