TAPAH: Keluarga Allahyarham Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor 17 Mei lalu, akan menyalurkan sumbangan Persatuan Pegawai Polis Bersara Malaysia (Respa) sebanyak RM13,000 untuk pembinaan surau di Kampung Poh Tambahan, Tanjung Malim dekat sini.
Menurut bapa Allahyarham, Azhar Khaiden, 54, keluarganya telah sepakat wang sumbangan tersebut digunakan untuk menampung pembinaan Surau Al Fahmi yang dinamakan sempena nama arwah anaknya.
“Kami sekeluarga telah bersetuju untuk melengkapkan apa-apa keperluan yang kurang di surau itu, Insya-Allah.
“Jika mengikut maklumat yang saya dapat pada minggu lepas, pihak pegawai daripada pejabat MB ( Menteri Besar Perak) telah turun ke Kampung Poh Tambahan untuk membuat hitam putih dengan kepimpinan kampung.
“Saya difahamkan, pembinaan itu akan bermula pada bulan depan dengan kos RM500,000 daripada kos asal sebanyak RM400,000,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris Tragedi Balai Polis Ulu Tiram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi dan isteri Azhar iaitu, Nor Haliza Awaluddin, 49.
Media melaporkan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu mengorbankan dua anggota polis manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas premis tersebut diceroboh individu bertopeng.
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi merupakan salah seorang anggota yang terkorban selain Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang bertugas sebagai anggota peronda di balai sama.
Katanya lagi, surau itu dijangka siap pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan yang dijangka dapat memuatkan sehingga 500 jemaah pada satu masa.
Dalam pada itu, Meor Chek mengatakan sumbangan itu tidak seberapa berbanding pengorbanan kedua-dua arwah termasuk anggota polis yang cedera.
“Kami telah bersara tetapi tetap menyumbang kepada pegawai dan anggota polis. Sumbangan ini dilakukan kerana kami merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk bantu sebagai satu bentuk amal jariah dan kebajikan,” katanya.










