PETALING JAYA: Kejohanan China (Hainan) Junior Golf 2024 (pusingan Malaysia) akan membuka tirainya hari ini di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam dengan penyertaan seramai 98 pemain golf remaja dari Malaysia dan beberapa negara lain.
Kejohanan ini, yang akan berlangsung selama tiga hari, bertujuan mencari bakat muda dalam sukan golf.
Penganjuran kejohanan ini oleh Persatuan Golf Hainan yang bermula sejak 2013 melibatkan pemain golf amatur muda dari China serta negara-negara Asia Tenggara.
Tahun ini, sebanyak 69 peserta lelaki dan 28 peserta perempuan mengambil bahagian. Malaysia diwakili oleh 76 pemain, manakala negara lain termasuk China (12), Korea (2), Singapura (3), Thailand (1), dan Amerika Syarikat (1).
Ini merupakan pusingan kedua di Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Golf Hainan dan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel), serta diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia.
Pengarah Eksekutif SportExcel, Sivananthan Chinnadurai, menyatakan bahawa kejohanan ini terbuka kepada pemain golf muda amatur dan dibahagikan kepada empat kategori lelaki dan perempuan berdasarkan umur dan handicap yang ditetapkan.
“Juara dalam lapan kategori yang dipertandingkan akan layak ke peringkat akhir Kejohanan China (Hainan Junior Golf) 2024 di Hainan pada akhir September nanti,” katanya dalam sidang media di Kelab Golf Glenmarie hari ini.
Kategori yang dipertandingkan termasuk lelaki dan perempuan berumur enam hingga sembilan tahun (Kategori D), 10 hingga 12 tahun (Kategori C), 13 hingga 16 tahun (Kategori B), dan 16 hingga 18 tahun (Kategori A).
Juara setiap kategori akan menerima pakej percuma untuk menyertai kejohanan akhir di China, termasuk penginapan dan pengangkutan, sementara kos tiket penerbangan ditanggung sendiri. SportExcel biasanya akan berkongsi kos penerbangan dengan ibu bapa pemain.
Bagi pemenang tempat kedua setiap kategori, mereka juga layak untuk bertanding di Hainan tetapi perlu menanggung sendiri semua kos yang dianggarkan kira-kira RM4,000.
Pemenang tiga tempat teratas dalam setiap kategori akan menerima piala, manakala pemenang lima tempat utama akan diberikan sijil kemenangan.
Naib Pengerusi Persatuan Golf Hainan, Mo Zhuanfei, mengesahkan bahawa kejohanan pusingan Malaysia pertama kali diadakan pada 2019 dan menjadi platform kerjasama antara Malaysia dan China dalam pembangunan bakat golf remaja.
Zhuanfei juga menyatakan minat pihaknya untuk mengadakan kejohanan ini setiap tahun dan mencadangkan agar Malaysia mungkin akan menjadi tuan rumah kejohanan di Hainan pada masa depan. – UTUSAN










