PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2024 bakal disertai seramai 4.5 juta rakyat dari seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak bakal diadakan serentak bermula 11 hingga 13 Oktober ini manakala di peringkat kebangsaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 12 Oktober ini.
“Majlis Perasmian HSN 2024 peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula kepada 19 Oktober bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 14 Oktober ini.
“Sasaran penyertaan seramai 4.5 juta orang di seluruh negara meliputi segenap lapisan masyarakat wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Perasmian HSN 2024 di Menara KBS hari ini.
Mengetengahkan tema ‘Cergas Bersama’, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“Perbezaan edisi kali ini adalah menerusi tema ‘Cergas Bersama’ untuk menangani negara menua pada 2023. Fokus kepada warga emas untuk kekal aktif namun peringkat umur yang lain tidak ketinggalan.
“Fleksibiliti turut diberikan kepada negeri-negeri untuk menganjurkan aktiviti sukan mengikut kesesuaian masing-masing. Contohnya, Melaka menganjurkan HSN 2024 pada sebelah malam,” katanya lagi. – UTUSAN










