SEPANG: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memberi jaminan tiada isu berhubung isu kad akreditasi dalam kalangan atlet para negara yang akan bertanding di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Megat D. Shahriman berkata kesemua 30 atlet yang bertanding di temasya itu bermula 28 Ogos hingga 8 September ini turut diiringi oleh jurulatih masing-masing berserta pegawai perubatan dan pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau turut mengakui menerima lima kuota tambahan kad akreditasi yang boleh digunakan secara peribadi dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja namun Megat D. Shahriman menyerahkannya kepada pasukan sokongan.
“30 atlet dan 32 pegawai yang terdiri daripada pasukan perubatan dan pegawai daripada MSN yang mana semuanya cukup. Semuanya diuruskan dengan baik dan tiada sesiapa yang pergi ke sana sebagai pelancong.
“Sebagai Presiden MPM, saya ada satu kuota kemudian tambahan lagi empat slot saya perolehi daripada Persekutuan Antarabangsa (tiga) dan Jawatankuasa Paralimpik Asia (satu),” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Satu kuota kad akreditasi turut diberikan kepada Setiausaha Agung MPM, Datuk R. Subramaniam ke temasya tersebut.
Terdahulu, pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei beraksi tanpa jurulatihnya, Nova Armada berikutan ketiadaan kad akreditasi ketika Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Keadaan menjadi kecoh apabila Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria dirakam duduk bersama isteri dan anaknya di Arena Porte de La Chapelle namun badan induk itu menegaskan beliau menggunakan kad akreditasi khas yang diberikan Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC). – UTUSAN










