NEW DELHI: India mengambil langkah kontroversi apabila mahu meminda undang-undang wakaf termasuk mengubahnya untuk memastikan penyertaan perwakilan individu bukan muslim dan wanita islam dalam badan wakaf pusat dan negeri, kata sumber tertinggi kerajaan.
Satu lagi rang undang-undang akan diperkenalkan bagi memansuhkan Akta Wakaf 1923 dan salinan rang undang-undang tersebut telah diberikan kepada ahli Lok Sabha atau ahli Parlimen India.
Pindaan itu juga akan menamakan semula undang-undang 1995 sebagai Akta Pengurusan, Pemerkasaan, Kecekapan dan Pembangunan Wakaf bersatu.
Sumber memberitahu NDTV bahawa matlamat keseluruhannya adalah untuk mengurus harta wakaf dengan lebih baik, merujuk kepada tanah yang diketepikan, di bawah undang-undang Islam, untuk tujuan keagamaan atau kebajikan.
Antara perubahan utama yang dicadangkan ialah peninggalan Seksyen 40 daripada perundangan sedia ada, yang membolehkan lembaga pengarah mengklasifikasikan hartanah di mana ia bermakna boleh mengisytiharkan mana-mana hartanya sebagai wakaf.
Sebaliknya, pemungut daerah, seorang pegawai perkhidmatan awam, kini akan membuat keputusan itu.
Selain itu, rang undang-undang ini juga mencadangkan supaya lembaga berasingan untuk komuniti Bohra dan Agakhani di samping menyediakan perwakilan bagi kaum syiah, sunni dan kelas mundur lain dalam kalangan umat islam.
Di India, Majlis Wakaf Pusat dan Lembaga Wakaf negeri mesti mempunyai dua orang wanita sebagai ahli lembaga.
Jika rang undang-undang tersebut dilulus serta dikuatkuasakan, maka majlis itu kini akan terdiri daripada seorang Menteri Kesatuan, tiga ahli parlimen, tiga wakil pertubuhan Islam dan tiga pakar undang-undang islam.
Tambah sumber itu lagi, kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mahu undang-undang baharu tersebut bersifat inklusif tetapi mungkin akan menghadapi tentangan yang kuat daripada pembangkang dan lembaga wakaf di seluruh negara.
Ia menyifatkan pindaan undang-undang tersebut sebagai muslihat parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk melemahkan dan mengganggu kestabilan organisasi sedemikian. -AGENSI











