KUALA LUMPUR: Pasukan Moiz Boys muncul juara dalam Kejohanan Polo Belia Malaysia ke-3 (3MYPT) selepas menewaskan pasukan International All Stars dengan keputusan 6-5 pada perlawanan akhir di Kelab Polo Kuala Lumpur hari ini.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Ogos itu, menyaksikan Moiz Boys meraih kemenangan menerusi jaringan kapten pasukan, Imran Moiz, dalam chukka terakhir.
Perlawanan yang melibatkan empat chukka selama tujuh minit setiap satu, menyaksikan persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan.
Imran Moiz, yang juga merupakan atlet Sukan SEA, menyifatkan kejayaan ini penting kerana memberi pendedahan kepada persaingan baharu yang memacu peningkatan kemahiran mereka.
“Kami berdepan perlawanan yang mencabar dan memuaskan. Bermain menentang International All Stars yang terdiri daripada pemain tempatan dan antarabangsa memberi kami pengalaman yang membuka mata kami,” katanya.
Imran juga menganggap kejohanan ini sebagai satu penghormatan kerana memberi mereka peluang untuk menyokong Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dalam usaha mereka meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak.
Tema 3MYPT tahun ini, “Passion for Compassion,” bertujuan untuk memperkenalkan kerja-kerja NCSM dalam menyokong pesakit kanser dan mendidik orang ramai tentang pencegahan serta pengesanan awal kanser.
Sebagai sebahagian daripada kejohanan, pemain-pemain polo belia antarabangsa berpeluang meluangkan masa bersama kanak-kanak yang terjejas dengan kanser, memberikan mereka pemahaman lebih mendalam mengenai cabaran yang dihadapi.
Pengerusi penganjur 3MYPT, Natasha Mustapha, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Polo Kuala Lumpur, melahirkan rasa bangga terhadap komitmen pemain muda dalam menunjukkan belas kasihan.
“Melihat pemain-pemain muda menunjukkan sifat belas kasihan yang mendalam terhadap mereka yang menghadapi cabaran besar adalah sesuatu yang sangat membanggakan.
“Kami berharap acara ini dapat menyebarkan kesedaran tentang usaha NCSM kepada lebih ramai orang, terutamanya golongan belia,” katanya. – UTUSAN










