MADRID: Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata bahawa dia tidak lagi akan beraksi bersama skuad kebangsaan Belgium yang kini dikendalikan oleh Domenico Tedesco.
Courtois dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di dunia, telah dikecualikan daripada skuad Belgium untuk Kejohanan Eropah 2024 (Euro) selepas berlaku perselisihan faham dengan Tedesco pada tahun lalu dan tempatnya digantikan oleh Koen Casteels.
“Satu penghargaan kerana berpeluang memakai jersi kebangsaan. Tidak saya mimpikan apabila saya dapat melakukannya lebih daripada 100 kali.
“Malangnya, ekoran daripada peristiwa dengan jurulatih dan selepas melakukan pertimbangan, saya memutuskan untuk tidak menyertai ke pasukan kebangsaan Belgium di bawah kendaliannya.
“Dalam hal ini, saya menerima tanggungjawab saya. Bagaimanapun, melihat ke hadapan, kekurangan keyakinan saya terhadapnya tidak akan menyumbang kepada mengekalkan suasana yang diperlukan untuk hubungan yang baik,” tulis Courtois di laman sosialnya.
Penjaga gol berusia 32 tahun itu, mengalami kecederaan tetapi pulih tepat pada masanya untuk membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara pada Jun lalu, berkata Persatuan Bola Sepak Belgium telah menerima keputusannya itu.
“Saya kesal mungkin mengecewakan beberapa peminat tetapi saya yakin bahawa ini adalah langkah terbaik untuk Belgium, kerana ia menutup perdebatan dan membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada mencapai matlamat mereka.
“Terima kasih atas sokongan, kasih sayang, dan pemahaman yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Taktik Tedesco menimbulkan persoalan tentang sama ada dia adalah individu yang tepat untuk menggalas jawatan tersebut selepas Belgium disingkirkan oleh Perancis di pusingan kalah mati Euro 2024.
Pengurus kelahiran Itali yang berasal dari Jerman itu memulakan tugasnya pada Februari 2023 dan menandatangani lanjutan kontrak sebelum bermulanya Euro 2024.
Bagaimanapun pasukan berada di tangga ketiga terbaik dunia selama hampir tiga tahun dan layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan di bawah kendalian Tedesco. – AGENSI










