OTTAWA: Syarikat rakaman yang mewakili penyanyi Celine Dion, Sony Music Entertainment Canada Inc (Sony) mengkritik bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kerana menggunakan klip lagu terkenalnya tanpa kebenaran untuk kempen Pilihan Raya Presiden.
Lagu My Heart Will Go On yang ditampilkan dalam filem pecah panggung, Titanic pada
1997, dimainkan kepada penyokong sebelum Trump muncul di pentas pada satu perhimpunan di Bozeman, Montana, kelmarin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman X, Sony menyatakan pihaknya tahu tentang penggunaan video, rakaman, persembahan muzik dan imej Dion menyanyikan My Heart Will Go On di perhimpunan kempen Trump dan Senator JD Vance di Montana tanpa kebenaran.
“Dion tidak menyokong penggunaan lagu itu, malah tidak membenarkan penggunaannya dalam apa juga cara,” jelas Sony.
Ini bukan kali pertama kempen Trump menggunakan lagu penyanyi terkenal tanpa kebenaran.
Sebelum ini, penyanyi veteran Neil Young dan kumpulan seperti Queen serta Rolling Stones pernah menjadi mangsa bekas Presiden itu selepas lagu mereka dimainkan semasa perhimpunan kempen beliau.
Pasukan kempen Trump belum memberi maklum balas terhadap kenyataan tersebut.
Lagu My Heart Will Go On yang memenangi lima Anugerah Grammy, dijadikan runut bunyi filem blockbuster Titanic, yang dibintangi Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet sebagai pasangan kekasih yang bertemu dalam pelayaran pertama kapal malang itu pada tahun 1912. – AGENSI











