BERLIN: United Kingdom (UK) bimbang dengan kebangkitan golongan sayap kanan dan anti Islam yang semakin meningkat di Eropah hingga boleh mencetuskan konflik antara agama serta kaum.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer menzahirkan kebimbangan itu ketika bertemu dengan rakan sejawatnya dari Jerman, Olaf Scholz kelmarin.
Beliau kemudian menggesa parti politik progresif di Eropah bekerjasama menangani ancaman tersebut.
Beliau yang dalam lawatan ke Jerman semalam berkata, golongan berkenaan perlu ditewaskan dan berjanji keadaan di Britain akan lebih baik sebelum tamat tempoh pertama pentadbirannya.
“Kita harus peka terhadap cabaran dibawa oleh pelampau sayap kanan di United Kingdom (UK). Ancaman sama juga boleh berlaku di negara-negara Eropah lain termasuk di Perancis dan Jerman,” katanya kepada pemberita seperti laporan Reuters.
Kerajaan pimpinan Parti Buruh diketuai Starmer yang memenangi pilihan raya awal Julai lalu, berdepan krisis utama anti-Islam susulan insiden serangan bersenjatakan pisau oleh seorang lelaki mengakibatkan tiga kanak-kanak terbunuh.
Kes itu mencetuskan rusuhan besar-besaran selepas maklumat palsu tersebar di Internet menyatakan serangan dilakukan seorang lelaki Islam yang juga pencari suaka.
Susulan tunjuk perasaan di seluruh UK, polis Britain menahan sebanyak 1,160 individu atas pelbagai dakwaan antaranya sengaja mencetuskan kebakaran, rompakan serta serangan perkauman yang mensasarkan penduduk Islam dan golongan pendatang.
Tugas Starmer menangani ancaman itu bagaimanapun menjadi lebih sukar kerana negara juga sedang dihimpit dengan krisis kos sara hidup dan perkhidmatan awam yang semakin merosot. – AGENSI










