WASHINGTON: Bank Dunia sedang menilai kesan situasi di Bangladesh terhadap program pinjamannya dengan negara itu, selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri semalam.
Pengunduran Hasina berlaku selepas ratusan orang terbunuh dalam tindakan keras terhadap demonstrasi yang bermula daripada protes kuota pekerjaan sektor awam, sebelum berkembang menjadi gerakan anti kerajaan.
“Kami kesal dengan keganasan dan kehilangan nyawa yang berlaku dalam beberapa minggu lalu di Bangladesh dan berharap penyelesaian segera dan aman.
“Kami sedang menilai kesan situasi yang berlaku terhadap program Kumpulan Bank Dunia dan kekal komited untuk menyokong aspirasi pembangunan rakyat Bangladesh,” kata jurucakap bank itu, semalam.
Jun lalu, Lembaga Bank Dunia meluluskan dua projek berjumlah AS$900 juta (RM4.23 bilion) untuk membantu Bangladesh memperkukuhkan dasar fiskal dan sektor kewangan, selain meningkatkan infrastruktur bandar bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan tahan iklim.
Bank Dunia adalah antara rakan pembangunan pertama yang menyokong Bangladesh selepas kemerdekaannya.
Sejak itu, bank tersebut memberikan kira-kira AS$41 bilion (RM183 bilion) dalam bentuk geran dan kredit tanpa faedah kepada negara yang terdedah kepada bencana.
Kumpulan Bank Dunia mempunyai komitmen keseluruhan di Bangladesh sebanyak AS$2.85 bilion (RM12.7 bilion) untuk tahun kewangan 2024, yang berakhir pada 30 Jun, menurut laman web bank itu.- REUTERS










