WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan besar oleh Iran atau proksinya di Asia Barat seawal minggu ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby semalam berkata, pihaknya telah memperkukuhkan kedudukan tenteranya di Asia Barat dan turut berkongsi kebimbangan Israel tentang kemungkinan serangan yang didalangi Teheran.
“Kami berkongsi kebimbangan yang sama seperti sekutu kami, Israel tentang serangan yang mungkin berlaku minggu ini.
“Kami perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan serangan besar,” kata Kirby kepada wartawan seperti laporan Reuters.
AS kelmarin semalam mengarahkan penghantaran sebuah kapal selam dilengkapi berpandu peluru ke Asia Barat selain mendesak sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln untuk belayar ke wilayah berkenaan dengan lebih pantas.
Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Negara, Lloyd Austin selepas berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant susulan kemungkinan serangan berskala besar Iran terhadap Tel Aviv minggu ini.
Terdahulu, sumber risikan Israel percaya bahawa Iran telah memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap Israel dalam masa beberapa hari lagi sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran.
Serangan tersebut mungkin dilancarkan sebelum Khamis ini, tarikh yang ditetapkan oleh AS, Mesir, dan Qatar untuk rundingan gencatan senjata baharu Gaza. – AGENSI











