JEDDAH: Tiada kata putus dibuat blok negara Islam khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) walaupun menuduh Israel membunuh Ismail Haniyeh dengan melakukan serangan terhadap Ketua Biro Politik Hamas itu di Teheran, Iran.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa blok 57 negara anggota itu semalam di Arab Saudi, OIC hanya merumuskan Israel selaku kuasa penjajah yang tidak sah, bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan kejam itu yang turut menceroboh kedaulatan Iran.
Mereka hanya melahirkan kebimbangan jika pembunuhan itu boleh mencetuskan konflik di Asia Barat.
Pada ucapan pembukaan perjumpaan itu, Menteri Luar Gambia, Mamadou Tangara, yang kini mempengerusikan OIC berkata, pembunuhan Ismail dan perang berterusan di Gaza juga boleh membawa kepada konflik serantau di Asia Barat.
“Pencerobohan dan pencabulan kedaulatan dan integriti wilayah Iran dengan pembunuhan seorang pemimpin politik di buminya adalah satu tindakan yang tidak boleh dilihat secara berasingan.
“Perbuatan kejam ini hanya meningkatkan ketegangan sedia ada yang berpotensi membawa kepada konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh wilayah,” katanya.
Terdahulu, Iran dan Palestin menggesa mesyuarat OIC di Jeddah, Arab Saudi itu diadakan dan blok itu menggambarkan kesatuan terbabit sebagai suara menyeluruh dunia Islam.
Tuan rumah, Arab Saudi juga berkata, pembunuhan Ismail dengan jelas memperlihatkan pelanggaran terang-terangan kedaulatan Iran.
Timbalan Menteri Luarnya, Waleed al-Khereiji berkata, Arab Saudi menolak sebarang pencabulan kedaulatan negara atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman mana-mana negara.
Sebelum ini, Hamas dan Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan Ismail di Teheran minggu lalu, namun kerajaan Israel tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.
Pemangku Menteri Luar Iran, Ali Bagheri-Kani turut mengulangi pendirian Iran yang katanya tiada pilihan selain bertindak mempertahankan wilayahnya daripada rejim Zionis selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga dilihat gagal memainkan peranan.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, beberapa negara anggota OIC bersetuju dengan Washington bahawa peningkatan ketegangan hanya akan memburukkan lagi krisis yang berterusan di rantau berkenaan.
“Kami berharap pada mesyuarat OIC itu, semua pihak yang mempunyai hubungan dengan Iran memberi tekanan terhadap Teheran,” katanya. – AGENSI










