Apa nasib jika parti Pheu Thai dibubar?

Apa nasib jika parti Pheu Thai dibubar?

PAETONGTARN Shinawatra masih dibayangi bapanya, Thaksin Shinawatra walaupun beliau menafikan perkara tersebut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand menerima petisyen pembubaran Pheu Thai berhubung kesalahan membenarkan orang luar iaitu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra terlibat dan campur tangan urusan parti tersebut.

Jika Mahkamah Perlembagaan Thailand membenarkan petisyen tersebut, Pheu Thai bakal senasib parti pembangkang, Move Forward yang dibubarkan pada awal bulan ini yang menyaksikan kepimpinan dilarang daripada melibatkan diri dalam politik selama 10 tahun.

Malah keadaan itu bakal mengheret sekali lagi Thailand ke dalam ketidaktentuan politik selepas tempoh setahun negara menghadapi pilihan raya umum apabila sebelum ini Srettha Thavisin yang juga pemimpin Pheu Thai dilucut jawatan Perdana Menteri kerana melantik seorang pesalah rasuah sebagai menteri Kabinet.

Menurut petisyen difailkan pada 19 Ogos lalu oleh pihak tidak dikenali, individu itu mendakwa Thaksin campur tangan dalam urusan Pheu Thai sedangkan beliau tidak mempunyai kedudukan dan jawatan dalam parti.

“Membenarkan orang luar campur tangan dalam parti merupakan satu kesalahan, jadi Pheu Thai melanggar kesalahan dan perlu dibubarkan,” kata petisyen seperti dilapor­kan media tempatan, Thai PBS.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan kepimpinan Pheu Thai dan menegaskan sebarang keputusan parti dibuat oleh jawatankuasa parti dan ahli-ahli Parlimen, bukannya daripada mulut Thaksin.

Penganalisis politik Thailand menyifatkan perkembangan itu sebagai satu perkembangan tidak baik kepada negara apabila membuka ruang pembubaran parti sekali gus menjejaskan pentadbiran dan demokrasi.

Namun mereka juga berpandangan ia mungkin petisyen itu dikemukakan orang dalam Pheu Thai yang melihat campur tangan Thaksin dalam parti itu yang diketuai oleh anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra selaku kini merupakan Perdana Menteri.

Walaupun Thaksin sudah berdekad-dekad tidak mempunyai kedudukan politik, namun beliau masih mempunyai pengaruh dalam politik Thailand, seperti memetik laporan The Nation.

BAYANGAN BONEKA POLITIK

Sebelum ini, timbul prersoalan besar ialah sejauh mana Paetongtarn akan dipengaruhi oleh bapanya, lapor AFP.

Apatah lagi Paetongtarn masih berusia 37 tahun, sekali gus menjadi Perdana Menteri termuda dalam sejarah Thailand, corak pemerintahan mungkin dibayangi bapanya yang telah bergelumang dalam politik sejak 20 tahun lalu.

Thaksin telah memberikan bayangan yang luar biasa terhadap politik kerajaan selama dua dekad. Beliau telah mengubah politik Thailand pada awal 2000-an dengan dasar populis yang mengekalkan kesetiaan daripada rakyat luar dan dalam bandar.

Digulingkan sebagai Perdana Menteri oleh tentera pada 2006, Thaksin membawa dirinya ke dalam buangan dua tahun kemudian tetapi tidak pernah berhenti mengulas mengenai hal ehwal negara atau mencampurinya, menurut pengkritik.

APA BERLAKU JIKA PHEU THAI TERBUBAR?

Sekiranya Mahkamah Perlembagaan memutuskan Pheu Thai terbubar, ia bakal menyaksikan kedudukan Paetongtarn sebagai Perdana Menteri dan kerajaan terjejas kerana tidak mempu­nyai majoriti di Parlimen.

Buat masa Phue Thai mempunyai 141 ahli Parlimen dan menyumbang kepada kekuatan besar iaitu 315 sokongan kerajaan berbanding pembangkang iaitu 179 ahli Parlimen.

Ia bakal menyaksikan kerajaan tidak mempunyai sokongan sekali gus mempunyai dua kemungkinan antaranya pilihan raya umum sekali lagi dalam tempoh setahun dan pembentukan kerajaan perpaduan semua parti termasuk parti pro tentera seperti Bhumjaithai dan Palang Pracharath.

Sebelum ini, pelbagai pihak melahirkan kebimbangan kerajaan bakal dikuasai parti pro tentera tanpa penyertaan parti progresif seperti Phue Thai dan Parti Rakyat yang merupakan serpihan Move Forward.

Namun parti pro tentera tidak mampu membentuk kerajaan tanpa sokongan parti lain khususnya Pheu Thai sendiri, ia sekali gus menyebabkan Thailand terus berdepan ketidaktentuan politik sekali lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN