PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki bawah 21 tahun negara tunduk kepada pasukan bawah 21 tahun Australia 2-4 dalam aksi pertama pada Siri Perlawanan Persahabatan di Brisbane, Australia, hari ini.
Pintu gol Young Tigers dibolosi seawal minit keenam hasil jaringan padang oleh pemain tuan rumah, Jesse dan seorang lagi pemain Australia, Lucas melebarkan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-26.
Ketika permainan memasuki suku ketiga, Australia tanpa belas kasihan terus merobek gawang Malaysia menerusi Duncan pada minit ke-44.
Young Tigers seperti terjaga daripada tidur yang lena akhirnya bangkit untuk menyumbat dua gol ketika permainan memasuki suku terakhir hasil jaringan padang oleh Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar (minit ke-52) dan Mohamad Nor Syakir Hafiz yang menyempurnakan pukulan sudut penalti (minit ke-56).
Namun begitu, belum sempat barisan pemain muda negara mencari jaringan penyamaan, Australia kembali menjarakkan kedudukan kepada 2-4 hasil gol padang oleh Ian pada minit ke-57.
Penolong jurulatih skuad hoki remaja negara, I. Vikneswaran ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya daripada aksi persahabatan pertama tersebut.
“Secara keseluruhan kita berjaya bangkit pada hujung permainan, namun, pada pengakhirannya kita kalah 2-4.
“Kita tahu Australia merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dunia dan saya berasakan para pemain bermula dengan baik dalam perlawanan pertama ini yang mana saya juga melihat ia satu pertemuan yang bukan mudah,” katanya.
Aksi persahabatan pada jelajah Australia itu merupakan salah satu persiapan Young Tigers menjelang Piala Remaja Asia (JAC) 2024 di Bangladesh pada Disember.
Skuad muda negara itu yang akan berada di Australia sehingga 8 Ogos ini turut memburu tiket ke Piala Remaja Dunia 2025 di India yang mana JAC merupakan platform buat Young Tigers melayakkan diri pada kejohanan tersebut. – UTUSAN










