BUTTERWORTH: Pasukan nasyid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdullah Fahim, Wildan berjaya menempa nama ke peringkat kebangsaan apabila bergelar johan di peringkat negeri, baru-baru ini.
Pasukan yang dianggotai oleh sembilan ahli itu dinobatkan sebagai johan dalam Festival Khat dan Nasyid Sekolah-Sekolah (FKNSS) di Pulau Pinang.
Pertandingan yang dianjurkan 17 Julai lalu, turut menampilkan lima pasukan nasyid dari daerah berbeza untuk berentap dan melayakkan pasukan mereka ke peringkat kebangsaan.
Jurulatihnya, Mohamad Rawi Ibrahim berkata, dia mengambil masa selama sebulan untuk membentuk pasukan yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga.
“Mencabar juga melatih pelajar kerana nasyid juga mempunyai peralatan muzik yang perlu diselaraskan dengan lirik lagu.
“Lirik lagu pertama genrenya adalah Misri, jadi cabaran untuk melenggokkan setiap patah lirik dengan bunga dan burdah lagi itu sendiri.
“Alhamdulillah, saya turut dibantu oleh Ustazah Norlaili Ahmad bagi membimbing dan memberikan nasihat dalam aspek pemakaian dan tatarias peserta,” katanya.
SMKA SAF turut meraih tempat keempat dalam acara khat semasa pertandingan yang berlangsung di SMK Gemilang, Butterworth.
Peringkat Kebangsaan bagi festival yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negeri akan berlangsung pada 9 hingga 12 Ogos depan di Kuala Lumpur.










