KUALA NERUS: Badan Perhubungan UMNO Kelantan diberi ‘lampu hijau’ mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan lebih awal.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menyerahkan nama calon yang bakal bertanding dalam PRK tersebut kepada Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub untuk diumumkan pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, UMNO Bahagian Gua Musang menyenarai pendek nama dan disalurkan kepada UMNO Kelantan.
Katanya, Biro Politik UMNO juga telah menerima senarai pendek tiga nama calon tersebut daripada UMNO Kelantan dan calon yang akan bertanding daripada tiga nama berkenaan telah dipilih.
“Biro Politik UMNO telah membuat keputusan (memilih calon) dan kita menyerahkan nama tersebut kepada Ahmad Jazlan untuk membuat pengumuman awal.
“Calon yang dipilih itu adalah seorang lelaki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, BN Kelantan mencadangkan untuk mengumumkan calon PRK DUN Nenggiri lebih awal walaupun perkara itu dianggap tidak munasabah.
Laporan tersebut menyebut, Ahmad Jazlan berkata, cara baharu itu bertujuan memberi ruang kepada calon untuk bertemu pengundi di DUN berkenaan.
Tiga yang disebut-sebut bakal bertanding ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau sepatutnya menetapkan tarikh pengumuman calon tersebut pada pada minggu ini, namun diserahkan kepada Ahmad Jazlan.
“Saya sepatutnya buat keputusan minggu ini, saya telah buat keputusan dan saya serahkan kepada Ahmad Jazlan,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
PRK tersebut diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Anwar.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Mohd. Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi. – UTUSAN










