MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempertingkatkan usaha menangkap seekor buaya tembaga yang membaham seekor lagi kambing di Kampung Tengah, Klebang di sini, minggu lalu.
Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima satu klip video berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang pada 23 Jun lalu.
Menurutnya, anggotanya telah digerakkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan pada 24 Jun dan mengesahkan kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan kejadian tersebut berlaku di tepi tebing Sungai Malim yang berhampiran dengan kandang kambing milik pengadu dengan jarak antara kandang kambing dan sungai tersebut adalah kira-kira 100 meter.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika kambing milik pengadu berada di gigi air sungai tersebut dan seekor buaya dipercayai spesies buaya tembaga telah menyerang dan membahamnya.
“Kambing yang dibaham pada kejadian ini adalah daripada pemilik sama yang berlaku pada 15 Mei lalu,” kata kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Perhilitan diminta melakukan sesuatu untuk menangkap buaya tembaga yang telah membaham dua ekor kambing di Kampung Tengah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim, 56, berkata, reptilia itu dilihat semakin agresif menjadikan ternakan penduduk sebagai mangsa dalam dua kejadian pada 15 Mei dan terbaharu 23 Jun.
Katanya, buaya betina berukuran 2.7 meter dengan berat dianggarkan 300 kilogram (kg) yang memasuki perangkap dipasang Perhilitan pada 25 Mei lalu bukanlah reptilia yang membaham kambing penduduk.
Tambah Petra, Perhilitan telah mengambil tindakan dengan memasang perangkap buaya di lokasi insiden sejak 18 Mei lalu. – UTUSAN










