PARIS: Perenang, Perancis Leon Marchand merangkul emas pertama menerusi sukan renang acara final 400 meter (m) rampaian individu sekali gus mencatat rekod Olimpik terbaharu.
Marchand menewaskan pesaingnya, Tomoyuki Matsushita dari Jepun dengan catatan 4:02.95 saat (s) manakala carta ketiga menjadi milik Carson Foster dari Amerika Syarikat (AS).
Perenang berusia 22 tahun itu, berkata suasana di hadapan penyokongnya tidak berhenti memberi sorakan gemuruh sehingga menyentuh dinding penamat untuk mengutip emas terbabit.
“Saya merinding ketika naik di atas podium. Saya berasa sangat bangga dengan diri saya sendiri dan juga menjadi orang Perancis pada hari ini.
“Ianya adalah masa yang menakjubkan untuk saya dan saya benar-benar merasainya pada masa ini, jadi itu sangat bagus,” kata Marchand.
Dalam masa yang sama, Marchand mendedahkan beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron sejurus tamat saingan terbabit.
“Beliau (Macron) memberitahu saya bahawa dia menonton final itu bersama seluruh keluarganya. Semua orang menjerit di telefon. Ianya agak lucu dan saya sangat gembira atas panggilan telefon itu,” jelasnya.
Untuk rekod, Marchand hadir ke Arena La Defense dengan status perenang pilihan apabila memecah rekod dunia selepas 15 tahun dipegang oleh Michael Phelps dengan catatan, 4:02.50s, tahun lalu. – AGENSI










