BUTTERWORTH : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang melupuskan sebanyak 219 unit produk rotan dan buluh dari Indonesia yang dianggarkan seberat 228 kilogram (kg) yang didapati tidak mempunyai permit import, hari ini.
Jurucakap Maqis Pulau Pinang berkata, kesemua produk rotan dan buluh yang bernilai RM1,704.25 itu dirampas hasil pemeriksaan rutin di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, pengimportan konsainan tersebut yang bertujuan untuk dipasarkan di dalam negara tidak mempunyai permit import yang sah.
“Kegagalan mengemukakan permit import Maqis yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Justeru, tindakan perundangan seperti merampas, menyita, melupus dan lain-lain boleh dilaksanakan jika berlaku pelanggaran terhadap akta terbabit.
“Sehubungan itu juga, prosedur pelupusan mengikut Tatacara Kuarantin telah dilaksanakan dengan tatacara serta kaedah yang dibenarkan,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak Maqis sentiasa bersedia dalam melakukan kawalan serta pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan sekaligus memastikan industri pertanian negara terjamin.-UTUSAN










