Kuching City ‘underdog’ bertemu KDA

Kuching City ‘underdog’ bertemu KDA

AIDIL SHARIN SAHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun tampil konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir, ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap merendah diri dengan menyifatkan pasukannya sebagai ‘underdog’ untuk menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), esok.

Menurut pengendali kelahiran Singapura itu, Sang Kenari memiliki kelebihan dalam segala sudut terutamanya daripada aspek keserasian pemain.

Sedangkan katanya, Kuching City FC pada musim ini dibarisi 80 peratus pemain baharu dan masih dalam fasa membentuk keserasian.

“Melihat aksi KDA FC termasuk perlawanan terakhir mereka menentang JDT baru-baru ini, saya tak fikir perlawanan esok akan menjadi mudah buat kami.

“Mereka sejak dulu sudah memiliki keserasian kerana para pemain KDA FC kebanyakannya kekal di situ sejak sekian lama sedangkan pasukan kami boleh dikatakan baru memulakan proses pembentukan musim ini.

“Jadi tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa mereka merupakan pasukan pilihan sedangkan kami ‘underdog’,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun di sebalik semua itu, Aidil Sharin berkata, Kuching City FC tidak berkunjung ke Stadium Darul Aman semata-mata untuk menyerah kalah memandangkan di dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi.

“Kami pernah menewaskan mereka musim lalu dan dalam bola sepak, anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku hingga tamat 90 minit permainan.

“Dalam keadaan sekarang, kami masih di peringkat membina momentum dan masih jauh daripada tahap prestasi terbaik. Namun, kami akan memberikan segalanya untuk mendapatkan mata dalam perlawanan esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN