Kejayaan SRG buka mata banyak pihak

Kejayaan SRG buka mata banyak pihak

MOHD NAJWAN HALIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kejayaan Selangor Red Giants (SRG) menjuarai kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, Ahad lalu telah membuka mata ramai pihak serta mampu mengubah persepsi ibu bapa terhadap e-sukan.

Kemenangan SRG di kejohanan yang berlangsung Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi telah membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.7 juta).

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan kerajaan negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata Selangor antara pelopor terawal menceburi e-sukan pada tahun 2015 selepas mendapati bidang tersebut memberi impak yang besar.

“Usaha awal dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika beliau menjadi Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan.

“Memang itu (persepsi ibu bapa) cabaran masa mula-mula dalam e-sukan. Persepsi masyarakat terutamanya ibubapa. Main permainan video ini tidak memberi manfaat kepada anak-anak mereka.

“Bagaimanapun, selepas daripada kejayaan ini, ia membuka mata ibu bapa yang ragu-ragu melihat anak-anak mereka alam e-sukan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

SRG muncul juara selepas menewaskan Filipina AP Bren Sport 4-2 dan mengulas lanjut mengenai kemenangan tersebut, Najwan berharap agar khidmat pengurusan kewangan dapat diberikan kepada juara dunia itu.

“Untuk mereka yang sudah menang saya minta pengurusan untuk bantu uruskan kewangan hasil kemenangan tersebut.

“Apabila dapat hadiah wang tunai yang besar mereka memerlukan bimbingan dan nasihat daripada pengurusan supaya mereka tidak (terjerat)…nak uruskan hadiah yang besar perlu ada ilmu dan kemahiran.

“Pemain yang masih berusia 18 tahun kita akan bantu daripada segi bimbingan itu supaya mereka dapat uruskan hadiah wang kemenangan dengan lebih baik dan membelanjakan ke arah yang betul,” katanya.

Bercakap mengenai insentif kerajaan negeri kepada SRG, Najwan berkata akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak atasan namun percaya itu bukan matlamat utama mereka.

“Kita akan pertimbangkan ganjaran tetapi mereka bukan main sebab itu sebaliknya kerana minat. Kita bantu daripada segi persiapan pembangunan dan bukan apabila dah menang baru nak bagi ganjaran.

“Tajaan RM200,000 menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) telah diberikan kepada pasukan untuk menyertai kejohanan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN