KDN mahu bawa masuk pemain baharu

KDN mahu bawa masuk pemain baharu

PEMAIN Kelantan Darul Naim (KDN) FC menjalani latihan untuk saingan Liga Super-IHSAN KDN FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Empat kekalahan dalam lima perlawanan dilalui setakat ini menjadi petunjuk betapa Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) perlu melakukan sesuatu menjelang jendela perpindahan kedua, tidak lama lagi. 

Menurut Penolong Ketua Jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya, situasi itu sememangnya merisaukan ketika pasukan berkenaan kini menghuni tangga kedua tercorot selepas tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi. 

Katanya, pertukaran pemain perlu dilaksanakan bagi membolehkan pasukan tersebut memberi saingan lebih baik, terutamanya melibatkan pemain import. 

“Kalau terus begini, sudah tentu kita risau kerana sudah lima perlawanan dilalui tetapi kita tewas empat kali. Di pihak kejurulatihan, kami perlu melakukan sesuatu terutamanya melibatkan ketajaman pemain dalam memburu jaringan.

“Namun dalam masa sama, saya fikir kita memang perlu membawa masuk pemain baharu. Setakat ini perbincangan masih berjalan dengan pihak pengurusan. 

“Dalam masa sama, pihak kami sedang mengenal pasti pemain baharu yang hendak dibawa masuk ke pasukan ini. Bagi saya, pertukaran pemain dalam jendela perpindahan kedua ini perlu dibuat terutamanya melibatkan pemain import,” katanya. 

Mengulas mengenai kekalahan dialami kepada Sang Kenari, Rezal berkata, secara keseluruhannya para pemain KDA FC sememangnya mempunyai banyak kelebihan berbanding skuad dimiliki KDN FC terutamanya dari aspek pengalaman. 

“Namun malam ini kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gol yang terhasil buat pasukan lawan, tidak sepatutnya kami lepaskan. Mungkin ada kesilapan dilakukan beberapa individu menyebabkan pintu gol kami dibocori. 

“Lagi pun malam ini prestasi pemain seakan menurun, mungkin disebabkan momentum perlawanan yang berkurang selepas dua minggu berehat. Kali terakhir kami bertemu PDRM pada 23 Jun lalu sedangkan KDA FC beraksi setiap minggu dan agak sukar buat kami mencari semula momentum perlawanan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN