PETALING JAYA: Jurulatih menembak kebangsaan, Firdaus Abdul Rahim menyifatkan penembak negara, Johnathan Wong Guanjie berada dalam kedudukan terbaik menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Johnathan, 31, beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol yang dijadual membuka tirainya hari ini perlu berada sekurang-kurangnya lima hingga lapan penembak terbaik untuk layak ke final pada Ahad ini.
Olimpik Paris merupakan penampilan kedua Johnathan di temasya terbesar dunia itu selepas Rio 2016 dan bercakap mengenai persiapan, Firdaus berkata, anak buahnya itu tidak berdepan sebarang masalah sepanjang menjalani latihan di lapang sasar Chateauroux.
“Kita sudah berlatih selama empat hari di lapangan sasar dan esok pusingan kelayakan bermula. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.
“Sasaran yang ditetapkan kepada Johnathan adalah dia perlu membidik sekurang-kurangnya 582 mata untuk menjadi lapan penembak terbaik bagi melayakkan diri ke final,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Johnathan akan merebut tempat lapan penembak terbaik sebelum layak ke final bersama 45 atlet yang bertanding.
Pada edisi Rio 2016 yang juga penampilan sulungnya di Olimpik, Johnathan gagal layak ke final sebagai lapan terbaik selepas hanya menamatkan cabaran di tempat ke-28 daripada 46 peserta.
Sebagai rekod, Jonathan layak kali kedua ke Sukan Olimpik di Paris dalam acara 10m air pistol selepas menduduki tempat keempat di Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.-UTUSAN










