Empat pemain skuasy bakal berdepan jadual padat

Empat pemain skuasy bakal berdepan jadual padat

AIRA Azman (kanan), Ng Eain Yow dan Aifa Azman sewaktu menghadiri sidang media Fast Track Skuasy bersama Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat pemain skuasy negara yang berada di bawah program Fast Track Road To Gold (RTG) bakal mengharungi jadual padat bermula musim baharu Ogos ini hingga Mac tahun depan bagi membantu persediaan awal mereka menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, empat pemain berkenaan iaitu Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman bakal mengharungi 12-16 kejohanan yang berada dalam kalendar Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

“Kalau sebelum ini mereka hanya menyertai tidak sampai 10 kejohanan antarabangsa, tetapi, dengan sokongan program Fast Track RTG, peman-pemain ini akan menyertai 12 hingga 16 kejohanan semusim,” katanya kepada pemberita pada sidang media Program Fast Track Skuasy di bawah insiatif Jawatankuasa RTG di sini, hari ini.

Menurut Hannah, selain bilangan kejohanan yang bertambah, pemain-pemain itu akan menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal.

Jelas beliau, bagi Sivasangari, Eain Yow, Aifa serta Aira, program latihan mereka akan diperincikan dengan sokongan jurulatih peribadi dan jurulatih psikologi.

“Sivasangari akan berpengkalan di Ithaca, New York menjalani latihan di bawah David Palmer sebagai jurulatih peribadi serta mendapat perkhidmatan jurulatih fizikal, Mark Burn.

“Selain itu, Sivasangari akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan
sukan di pusat latihan dan di Institut Sukan Negara (ISN),” ujarnya.

Hannah memberitahu, bagi Eain Yow pula, dia telah memilih untuk berlatih di Msquash Norwalk, Connecticut, AS di bawah jurulatih Shaun Moxham dan akan turut menjalani kem latihan pusat di Kaherah, Mesir.

Tambahnya, bagi dua adik beradik iaitu Aifa dan Aira, persiapan awal mereka akan lebih tertumpu kepada menjalani latihan pusat di ibu negara bersama jurulatih Andrew Cross, selain mengikuti program bersama secara berkala di Pontefract, United Kingdom.

“Kedua- dua atlet ini juga akan dibantu jurulatih fizikal yang telah dikenal pasti dan prestasi
fizikal mereka dipantau oleh ISN,” katanya.

Hannah berkata, kesemua atlet itu telah ditetapkan sasaran yang perlu dicapai dalam setiap tahun, antaranya meningkatkan ranking dunia serta memenangi pingat pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN