KUALA LUMPUR: Sikap segelintir pemilik kenderaan lama yang membiarkannya di lokasi awam sehingga memburukkan pemandangan telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, isu yang membelenggu itu juga secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak senang warga kota.
Katanya, perkara tersebut turut menimbulkan masalah lain seperti kekurangan petak letak kenderaan, halangan lalu lintas malah menjadi tempat pembiakan makhluk perosak.
“DBKL sedang mempergiatkan usaha menunda kenderaan-kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai ini ke depoh kenderaan buruk di Salak Selatan, Taman Connaught dan Pantai Sentral setelah tempoh notis yang diletakkan di kenderaan buruk tersadai ini tamat.
“Kepada para pemilik kenderaan usang ini, ambil inisiatif untuk selesaikan hal kenderaan anda,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, DBKL turut menasihati pemilik kenderaan untuk mengambil inisiatif membaik pulih, meleraikan atau menjual semula sebagai alat ganti.
Jelas kenyataan itu, pelbagai alasan diberikan pihak pemilik kenderaan selepas tindakan diambil seakan tidak menyedari notis telah dikeluarkan sebelum itu.
“Alasan mereka masih mahukan kenderaan mereka. Tapi sudah dibiarkan tersadai berbulan-bulan, malah bertahun pun ada,” katanya. – UTUSAN
Caption: KENDERAAN lama terbiar menyebabkan kekurangan petak letak kenderaan, halangan lalu lintas malah menjadi tempat pembiakan makhluk perosak. – GAMBAR HIASAN










