MIAMI: Jaringan Lautaro Martinez pada masa tambahan memastikan Argentina menambah koleksi piala Copa America ke-16 selepas menewaskan Columbia 1-0, sebentar tadi.
Lebih manis, kemenangan itu menjadi hatrik buat Argentina dalam kejohanan utama selepas kejayaan pada edisi 2021 serta Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pada aksi di Stadium Hard Rock terbabit, sepak mula ditangguh selama 82 minit susulan kekecohan tindakan peminat tanpa tiket cuba merempuh masuk pagar stadium berkenaan.
Columbia tampil dengan bertenaga pada awal permainan dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33 apabila Jeferson Lerma merembat dari jarak 20 meter namun dinafikan oleh penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
Babak kedua menyaksikan Argentina bertahan dengan baik namun mendapat tamparan yang hebat pada minit ke-66 apabila Lionel Messi meninggalkan padang akibat kecederaan pergelangan kaki.
Martinez selaku penjaring terbanyak kejohanan menyambut hantara dari Giovani Lo Celso sebelum meledak ke atas penjaga gol Columbia, Camilo Vargas pada minit ke-112.
Untuk rekod, Argentina memadam 28 perlawanan tanpa kalah Columbia yang mana kekalahan terakhirnya ketika berdepan juara Copa America 2024 itu pada Februari 2022. – AGENSI










