LONDON: Selepas merangkul gelaran keempat Grand Slam dalam kariernya, Carlos Alcaraz mendabik dada dan mengakui tidak tahu mengenai had kemampuannya selepas menewaskan Novak Djokovic, tengah malam tadi.
Pilihan ketiga dari Sepanyol itu meraih gelaran kedua Wimbledon selepas mengatasi juara tujuh kali 6-2, 6-2, 7-6 (7/4).
Pemain berusia 21 tahun itu berkata mahu menikmati perjalanan menakjubkan yang dihasilkan setakat ini berbanding terlalu memikirkan hal yang belum pasti.
“Saya mahu terus bergerak ke hadapan, meningkatkan prestasi, berkembang dan cuba untuk terus mencatat kemenangan. Hanya itu yang penting untuk saya buat masa ini.
“Saya tidak tahu setakat mana had kemampuan saya. Saya tidak mahu memikirkan mengenainya. Saya mahu terus menikmati saat ini dan bermimpi.
“Jadi, kita lihat nanti di akhir kerjaya saya sama ada 25, 30, 15 atau empat gelaran Grand Slam. Saya tidak tahu. Saya mahu katakan saya mahu menikmati perjalanan ini dan tunggu apa yang berlaku pada masa depan.
“Saya mahu duduk sebaris dengan pemain terhebat. Itu sasaran utama saya. Itu impian saya ketika ini,” kata Alcaraz.
Bagaimanapun, Alcaraz menyifatkan Djokovic masih lagi berbisa susulan beliau masih dalam pemulihan menjalani pembedahan lutut, bulan lalu.
“Saya masih percaya Djokovic masih Superman disebabkan apa yang dilakukan untuk kejohanan ini dengan pembedahan yang dilakukan beberapa minggu sebelum kejohanan bermula,” jelas Alcaraz. – AGENSI










