351 anggota polis bertugas kawal aksi separuh akhir Piala FA - Utusan Malaysia

351 anggota polis bertugas kawal aksi separuh akhir Piala FA

SERAMAI 30,000 penyokong TFC dijangka menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara TFC dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Jumaat ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 351 anggota polis akan ditugaskan bagi aksi separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, penugasan itu bagi memastikan kelancaran perlawanan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata, penyokong kedua-dua pasukan diingatkan agar mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan pihak berkuasa termasuk larangan membawa masuk barang terlarang.

Selain itu, menurutnya, penonton juga diberi amaran tidak membuat provokasi sebelum, semasa dan selepas perlawanan yang boleh membawa kepada kekecohan serta kekacauan kepada orang awam.

“Kawalan keselamatan akan diperketatkan melalui pemeriksaan di pintu masuk untuk mengesan objek seperti bunga api, mercun, suar atau senjata tajam yang dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.

“Pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sekiranya ada penonton yang melanggar peratuan atau menimbulkan kekecohan.

“Justeru itu penyokong TFC dan Selangor harus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi bagi memastikan keselamatan awam terjaga dan perlawanan berlangsung tanpa gangguan,” katanya ketika dihubungi di simi, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga akan menempatkan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sekitar kawasasan stadium untuk mengawal kelancaran lalu lintas.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semua pihak pada hari perlawanan.

Dijangka hampir 30,000 penonton memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat ini bagi menyaksikan pertembungan separuh akhir pertama itu sebelum aksi timbal balik di Petaling Jaya pada 3 Ogos.

TFC mara selepas mengatasi Sabah, 7-0 secara agregat di suku akhir manakala Selangor menumpaskan Kuching City FC, 5-3 menerusi penalti setelah terikat agregat, 4-4.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dengan pentas final Piala FA dijangka berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN