GOMBAK: Polis melupuskan sebanyak 183,211 barang kes termasuk peralatan komputer, rokok dan arak yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta membabitkan 912 kertas siasatan sejak 2015 .
Ia selepas arahan pelupusan oleh mahkamah bagi kesemua barangan kes siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, ia terdiri daripada 183,111 barang kes bagi 896 kertas siasatan BSJ manakala 100 barang kes bagi 16 kertas siasatan BSJK.
“Pelupusan itu membabitkan 2,650 barang kes perjudian dan bitcoin seperti komputer, komputer riba, telefon bimbit, modem, router, kertas loteri, alat pencetak serta mesin mining bitcoin.
“Selain itu, turut dilupuskan barang kes kontraban terdiri daripada 112,730 kotak rokok pelbagai jenama dan minuman keras pelbagai jenama (64,070 botol dan tin) serta pelbagai barangan am lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.
Noor Ariffin berkata, barang kes berkenaan mendapat kebenaran pelupusan daripada mahkamah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas kertas siasatan selesai perbicaraan dan dijatuhi hukuman mahkamah.
Jelasnya, kesemua barang kes akan dilupuskan dengan kaedah e-waste dan musnah (tanam, bakar, buang) mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. – UTUSAN